(Diolah dari petikan buku: Bagaimana Menyentuh Hati oleh Abbas As-Sisi
mengenai pendekatan Dakwah Fardiyyah)
Menghafal nama adalah hal yang penting, kerana dari sinilah terjadi interaksi dan lahir sifat saling percaya sesama individu. Ia merupakan langkah awal dan benang pertama yang mengikat antara hati individu.
Ia adalah benang yang mengikat bola-bola kecil yang berserakan. Setiap orang tentu akan merasa senang jika dipanggil dengan namanya, apalagi dengan nama yang paling ia sukai.
Menghafal nama mempunyai peranan yang amat penting. Oleh kerana itu, dipaparkan beberapa kaedah yang dapat membantu permasalahan ini.
1. Hendaklah kita tanamkan rasa ingin dan suka menghafal nama orang lain.
2. Ketika sedang berkenalan, hendaklah kita siap untuk menghafal namanya — secara lengkap atau sebahagian saja — lalu mengingat-ingat dan menggunakannya pada saat itu juga tatkala bercakap-cakap.
3. Nama biasanya terdiri dari tiga bahagian: namanya sendiri, nama orang tuanya, dan nama keluarganya. Nama yang paling disukai oleh pemiliknya adalah namanya sendiri atau kuniah-nya (nama panggilan yang disukainya - pen.)
4. Ketika berkenalan dengan nama yang baru, anda harus mengingat orang-orang yang mempunyai nama yang sama — yang telah anda kenal sebelumnya — agar mudah untuk menghafal.
5. Pada waktu berkenalan, anda perlu memerhatikan wajah dan keadaannya; apakah ia berjanggut, memakai kaca mata, bagaimana warna kulit, suara, bentuk tubuhnya, pekerjaannya, serta di mana dan bagaimana perkenalan itu berlangsung.
6. Untuk memantapkan ingatan, anda boleh menulis nama-nama tersebut, dan setiap kali bertemu hendaklah anda memanggil mereka dengan nama-nama tersebut. Jika tempat tinggalnya jauh, hendaklah anda mengirim surat kepadanya, kerana ini mempunyai impak yang amat besar dalam mempererat hubungan anda dengan mereka. Surat menyurat itu sendiri merupakan sarana dalam tarbiyah.
7. Ketika bertemu lagi, anda perlu mengingat-ingat pertemuan-pertemuan sebelumnya dan pertemuan yang pertama kali, kerana ini dapat membantu anda dalam mengingat namanya dengan cepat.
8. Berkenalan dengan seseorang merupakan pintu bagi anda untuk berkenalan dengan teman-temannya, hingga anda mempunyai data nama yang amat banyak. Anda pun harus berusaha agar nama-nama itu tetap melekat di kepala. Rasulullah saw. bersabda:
"Termasuk sifat angkuh adalah seseorang yang masuk ke dalam rumah temannya, lalu dihidangkan kepadanya makanan, ia tidak mahu memakannya; dan seorang laki-laki yang bersama-sama dengan laki-laki lain dalam perjalanan, tetapi ia tidak menanyakan namanya dan nama orang tuanya." (HR. Ad-Dailami)
article ini amat menarik. dalam tempoh ini, ramai pelajar-pelajar baru yang kita usahakan untuk jadikan mad'u, jadi ianya amat berguna supaya dapat eratkan hubungan antara naqibah dan mad'u baru. shukran.
ReplyDelete